September 12, 2024
Lain-Lain

Jalan Persekutuan Zon Utara, Dari Perak, Kedah, Pulau Pinang Hingga Ke Perlis

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah dalam entri kali ini saya ingin kongsikan kepada anda semua mengenai Jalan Persekutuan di zon utara tanah air kita.

Untuk makluman semua, saya telah menyertai trip yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia yang diberi nama FTRoadpediaZonUtara. Trip ini bertujuan untuk memberi maklumat mengenai jalan persekutuan. Jalan persekutuan zon utara meliputi negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan juga Perlis.

Jalan persekutuan adalah jalan yang diselenggara dan dipantau oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia. Jalan ini umumnya ditandakan secara terus menggunakan nombor tanpa huruf kod negeri. Contohnya jalan FT01. Untuk ekspedisi kami pada kali ini, kami akan menyelusuri jalan persekutuan seperti berikut:

  1. Jalan Kuala Lumpur-Ipoh FT1
  2. Jalan Sultan Azlan Shah FT1 (aka Jalan Tasek FT1)
  3. Jalan Ipoh-Kuala Kangsar FT1
  4. Jalan Kuala Kangsar-Taiping FT1
  5. Jalan Taiping-Butterworth FT1
  6. Jalan Bukit Tambun-Batu Kawan FT149
  7. Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah E28
  8. Jalan Rentas Pulau Pinang FT6
  9. Jambatan Pulau Pinang E36
  10. Jalan Butterworth-Alor Setar FT1
  11. Jalan Alor Setar-Kangar-Padang Besar FT7
  12. Jalan Ulu Pauh-Chuping-Padang Besar FT79
  13. Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis FT194
  14. Lebuhraya Utara-Selatan E1
  15. Lebuhraya Bukit Kayu Hitam E1/FT1

Sepanjang jalan persekutuan ini, terdapat pelbagai tarikan menarik yang boleh anda jumpai. Yang paling utama, ianya senang diakses dan digunakan oleh semua pengguna jalan raya. Oh! Lupa untuk saya maklumkan bahawasanya jalan persekutuan ini adalah jalan utama untuk kita rakyat Malaysia. Jalan persekutuan yang lebih dikenali sebagai jalan dalam ini merupakan jalan utama yang disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan kita semua. Manakala lebuhraya yang bertol pula adalah alternatif untuk jalan ini.

Namun kebanyakkan kita menggunakan jalan persekutuan ini sebagai jalan alternatif. Terbalik pula ya. Biasanya jalan persekutuan ini banyak digunakan apabila musim perayaan tatkala lebuhraya sesak dan sibuk.

Baiklah berbalik kita kepada ekspedisi FTRoadpedia Zon Utara ini. Ekpedisi ini bermula di Bangunan Kementerian Kerja Raya Malaysia yang terletak di Jalan Sultan Salahuddin. Ekpedisi ini telah dilepaskan oleh YB Menteri Kerja Raya Malaysia iaitu YB Dato’ Sri Hj Fadillah Bin Hj Yusof

Turut serta dalam ekpedisi ini adalah pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Kerja Raya dan agensi. Bagi saya ini adalah satu usaha yang bagus yang dilaksanakan oleh kementerian untuk mengenalpasti masalah secara terus dengan turun padang secara langsung sebegini.

Bangunan KKR ke Perak

Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang sejam dengan menggunakan jalan dalam FT01 ke Tanjung Malim. Sebenarnya ini adalah kali pertama saya menggunakan jalan ini. Jadi banyak perkara baru yang dapat saya ketahui sepanjang menggunakan jalan ini.

Setibanya di Tanjung Malim, kami dikenalkan dengan daerah yang ada di sini sepanjang perjalanan kami. Saya juga baru mengetahui bahawa daerah Tanjung Malim sudah dipecahkan sebahagianya menjadi daerah Muallim. Jujur, ini pertama kali saya mendengar daerah ini.

Daerah Kuala Kangsar

Jika anda menggunakan jalan persekutuan ini, anda akan melalui daerah Kuala Kangsar. Kuala kangsar yang terkenal dengan bandar diraja Perak ini mempunyai pelbagai takrikan menarik untuk anda terokai. Mana tidaknya, di sinilah terdapat Muzium Diraja Perak selain masjid yang cukup terkenal di sini iaitu Masjid Ubudiah.

Masjid ini  terletak lebih kurang 1 km dari Bandar Kuala Kangsar dan FT 001 KM 645. Masjid yang dibina di atas  Bukit Chandan ini mudah dilihat dari jauh kerana struktur binaannya cukup tinggi. Dikhabarkan bahawasanya masjid ini telah dibina atas titah perintah Sultan Idris.

Masjid ini merupakan Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan, Di sini juga terletaknya makam diraja dimana tempat para pemerintah kerajaan negeri Perak disemayamkan. Masjid ini telah dirasmikan permbukaannya pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah. Jika kita selalu lihat iklan atau apa jua berkaitan negeri Perak, masjid ini pastinya menjadi simbolik bagi negeri ini.

Bersama ahli parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura.

Daerah Kerian

Program diteruskan lagi dengan menyelusuri jalan di negeri Perak ini ke daerah Kerian.  Untuk makluman semua, Daerah Kerian yang terletak di utara Negeri Perak yang mana daerah ini bersempadan dengan Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Daerah Bandar Baharu Kedah. Di sebelah timur dan selatan, daerah ini bersempadan dengan Daerah Larut Matang dan Selama manakala di bahagian Barat Daerah Kerian adalah Selat Melaka.

Daerah ini cukup unik kerana ianya berada di antara 3 negeri iaitu Perak, Kedah dan Pualu Pinang. Ianya telah dipisahkan oleh Sungai Kerian. Kawasan yang cukup strategik. Di sini Menteri Kerja Raya telah hadir untuk merasmikan projek terbaru di sini iaitu pembinaan Hospital Parit Buntar.

Pembinaan hospital ini dijangkakan dapat memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik. ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan penjagaan kesihatan warganya pada tahap yang terbaik.

Seterusnya YB Menteri telah berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Panglima Bukit Gantang. Sekolah ini merupakan sekolah lama YB Menteri sewaktu sekolah menengah dahulu. Di sekolah ini menteri telah diberi penerangan mengenai masalah banjir yang sering melanda apabila tibanya musim hujan.

Pembinaan sistem perparitan yang betul akan dapat mengatasi masalah banjir ini daripada berulang. YB Menteri juga tidak melepaskan peluang untuk memberikan kata-kata semangat dan motivasi kepada ‘junior’ beliau di sekolah ini.

Pulau Pinang.

Perjalanan dari Perak diteruskan hingga ke Pulau Pinang, Pulau Mutiara. Melalui jalan persekutuan, kami teruskan perjalanan dengan menggunakan jambatan kedua Pulau Pinang iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim. Langit senja sudah mula kelihatan. Majlis teruskan dengan santapan di Restoran Pen Mutiara Pulau Pinang.

Ini merupakan kali kedua saya berkunjung ke restoran ini. Restoran yang cukup terkenal dengan kari kepala ikan ini pastinya menjadi tumpuan para pengunjung yang berkunjung ke negeri ini. Ikan segar disajikan kepada pengunjung kerana ianya diambil terus dari nelayan yang berlabuh di jeti tepi restoren ini. Terbaik bukan?

Malam melabuhkan tirainya dengan kami melelapkan mata di Hotel Vistana Pulau Pinang.

Hari kedua diteruskan dengan flag-off oleh YB Menteri di perkarangan Hotel Vistana. Majlis juga disertakan dengan bacaan doa agar perjalanan diberkati oleh Illahi. Rombongan terus ke  tapak Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Projek menaiktaraf jalan ini dilakukan kerana jalan ini merupakan jalan utama di sini. Ianya cukup sesak dengan kenderaan terutamanya pada waktu puncak kerana lokasinya berdekatan dengan lapangan terbang. Dijangkakan dengan pembinaan jalanraya bertingkat ini dapat memudahkan pengguna jalan raya di sini dan mengelakkan daripada berlakunya kesesakan yang besar.

Kami seterusnya meneruskan ekspidisi dengan mengelilingi pulau mutiara ini. Terdapat pelbagai tempat menarik disepanjang persisir pulau ini disebelah utara. Antaranya adalah  Air Terjun Titi Kerawang, Escape Park dan Ethopia yang merupakan taman rama-rama. Jalan tersebut seterusnya menembusi sehingga ke Batu Feringgi. Kita semua sudah sedia maklum bahasanya Batu Feringgi merupakan tarikan utama ketika waktu malam di Pulau Pinang ini.

Trip ke Pulau Pinang ini berakhir di Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Anggota rombongan bergambar kenang-kenangan di Padang Kota Lama.

Kedah Darul Aman

Dari Pulau Pinang terus ke Negeri Kedah Darul Aman melalui laluan FT001 Jalan Butterworth – Alor Setar. Rombongan tiba di Sungai Petani pada pukul 1 tengahari. Di sini kami telah berhenti di kawasan Zero kIlometer. Saya juga tidak pasti kenapa dinamakan sedemikian.  Di sini juga  terdapat  Menara Jam Besar Sg Petani. Menara jam ini dibina pada tahun 1910 dan siap pada tahun 1936 menggunakan tenaga manusia sepenuhnya. Tujuan pembinaannya adalah untuk memperingati King George V yang memerintah England dan pemerintah empayar British pada masa itu.
Seterusnya rombongan meneruskan perjalanan ke Gunung Jerai. Taklimat Projek Pulau Bunting, Yan telah dilakukan  di Tapak Rekreasi Kaki Gunung Jerai. Untuk makluman semua, vGunung Jerai  merupakan sebuah gunung yang terletak di antara sempadan daerah Kuala Muda dan Yan. Tinggi gunung ini adalah 1,207 meter.
Di sini jugalah terdapat terusan Wan Mat Saman yang terkenal itu. Terusan ini dibina dengan ilhamnya dari Wan Mat Saman untuk mengairi tanaman padi pada ketika itu. Sesuailah dengan jolokan Kedah sebagai Jelapang Padi Malaysia.

Perlis

Malam menjengah kami lagi. Kali ini kami sudah sampai ke Perlis Indera Kayangan. Di sini kami lepaskan lelah penat perjalanan di Hotel Seri Malaysia Kangar. Program diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup, Penyerahan Travel Guide Jelajah FTRoadPedia Zon Utara dan Makan Malam bersama YAB Dato’ Seri Azlan Bin Man, Menteri Besar Perlis dan YB Dato’ Sri Hj Fadillah Bin Hj Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia.
Makan malam yang berlangsung cukup meriah dengan kehadiran pelbagai pihak. Antara intipati ucapan Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa kementeriannya sentiasa komited bagi memastikan keselesaan untuk setiap warga negara Malaysia dengan penyediaan infrastruktur yang terbaik. Walaupun negeri Perlis ini kecil, namun ianya tidak pernah dilupakan oleh beliau.
Keesokkan harinya perjalanan diteruskan dengan melawat empangan Timah Tasoh. Empangan in cukup terkenal kerana ianya merupakan antara sumber air untuk kegunaan negeri ini.

Nama empangan ini diambil sempena nama dan tempat pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Dikatakan empangan Timah Tasoh ini mempunyai kisah lagenda atau mitos penduduk tempatan yang mana dahulunya Sungai Timah dan Sungai Tasoh ni diempangkan sehingga terbentuk tasik buatan oleh orang dulu-dulu.

Namun empangan itu tak mampu menampung lagi tasik tersebut lalu menenggelamkan seluruh kampung yang ada di sekitar situ. Kampung yang tenggelam itulah yang bernama Tasoh dan yang turut ditenggelamkan ke dalam tasik tersebut juga adalah sekolah, masjid, tanah perkuburan dan rumah-rumah.

Seterusnya kami dibawa ke Padang besar. Tidak sah rasanya jika ke Perlis jika tidak singgah di Padang Besar. Mana tidaknya terdapat pelbagai barangan dijual di sini. Rambang mata saya dibuatnya.

Hentian Rehat dan Rawat Gurun

R&R Gurun ini merupakan hentian terakhir dalam siri jelajah pada kali ini. Di hentian ini telah diadakan Perasmian Gerai Jualan yang berkonsepkan Pekan Rabu. Terdapat pelbagai barangan jualan yang terdapat di Pekan Rabu dijual di sini.
Jika anda tiada berkesempatan untuk ke Pekan Rabu, bolehlah singgah di RnR Gurun ini untuk membeli barangan yang anda inginkan.
Maka tamatlah sudah ekspedisi pada kali ini. Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur teruskan. Semoga perjalanan sebegini dapat membuka minda kita tentang kegunaan jalan persekutuan ini. Trip yang amat bermakna dan memberikan seribu pengajaran dan ilmu baru kepada saya

amirnawawi

Penulis yang sentiasa memikirkan tentang masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *