Site icon AMIRNAWAWI

Kebejatan Moral Remaja Malaysia. Salah Siapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca yang budiman sekalian. Semoga anda semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga tercinta hendaknya. Baiklah pada entri kali ini ingin saya kongsikan pandangan serta buah fikiran mengenai isu yang tak pernah lapuk iaitu masalah moral remaja.

Untuk makluman semua saya berasal dari kampung. Keseluruhan penduduk kampung saya adalah berbangsa Melayu. Jadi pergaulan saya hanya tertumpu kepada golongan ini sejak kecil lagi. jadi pelbagai ragam masyarakat ini telah saya lihat sendiri. Tak kurang juga masalah dalam kalangan remajanya.

Pelbagai masalah telah berlaku dalam golongan muda ini. Tidak kira dari yang sedang bersekolah hingga ke yang tidak bersekolah. Ponteng sekolah sudah menjadi kebiasaan. Menghisap rokok dan mencuri juga sudah selalu kedengaran walaupun di bawah umur. Itu belum lagi kes zina yang berleluasa. Apa sudah jadi?

Sampaikan timbul dalam diri saya tanggapan bahawa, Hai Melayuku apa sudah jadi dengan kalian semua..

Apabila sudah dewasa saya telah merantau ke negeri lain di Malaysia. Kali ini dalam komuniti pelbagai kaum. Tidak terhad kepada bangsa Melayu sahaja. Situasi sebegini lebih mengubah persepsi saya kepada realiti keadaan sebenar remaja di Malaysia sekarang.

Saya seorang yang suka menghirup udara segar waktu pagi. Jadi pada waktu pagi, saya berjalan-jalan untuk melihat kawasan sekitar. Pada satu pagi yang indah, saya terlihat pergaduhan yang berlaku di hadapan saya. Berbaju putih dan berseluar hijau tua. Oh! Ini pelajar sekolah menengah (Pelajar sekolah menengah kebangsaan). Adakah Melayuku yang terlibat?

Setelah diamati, rupanya remaja dari kaum Cina yang terlibat dalam pergaduhan tersebut dengan kawan sebangsanya yang lain. Apa yang digaduhkan saya tidak pasti kerana saya tidak memahami pertuturan mereka dalam bahasa Mandarin itu. Yang pasti berlaku aktiviti sepak menyepak dan terajang. Biasanya saya tengok dalam filem sahaja, namun kali ini berlaku depan mata. Tergamam seketika.

Kawasan berlakunya pergaduhan ini adalah di tepi kedai mamak. Pastinya ada orang lain yang turut memerhati. Itu belum masalah-masalah lain lagi. Ponteng sekolah dan berada di cyber cafe waktu belajar, dan banyak lagilah yang berlaku di depan mata saya.

Jadi beberapa tahun ini mengubah segala persepsi saya terhadapa sesuatu kaum sahaja. Kali ini lebih meluas. Jika sebelum ini saya cukup bimbangkan akan kaum saya sahaja. Namun kali ini mengubah segalanya. Konklusi yang dapat saya simpulkan adalah,

Ini bukan masalah kaum tertentu, ini masalah negara!

Jadi siapa yang perlu dipertanggunjawabkan atas masalah sebegini? Adakah ibu bapa, guru komuniti, atau kementerian? Sama-sama kita kupaskan dan anda boleh kongsikan pandangan anda dalam ruangan komen di bawah.

 

AM: Mereka akan menjadi peneraju negara di masa akan datang.

 

 

Exit mobile version