Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah jika entri sebelum ini, saya telah kongsikan dengan anda semua cara untuk ke Batam, kali ini saya ingin kongsikan pula majlis yang telah saya hadiri pada perjalanan tersebut iaitu Paguyuban Among Worgo Jowo (Punggowo) ke X .
Untuk makluman semua, Punggowo adalah acara tahunan yang diadakan di Batam ini. Pada tahun ini telah masuk tahun kesepuluh (10) penganjurannya. Setiap tahun ianya menyaksikan kehadiran lebih 100,000 warga Jawa yang terdapat di Kepulauan Riau dan sekitar Indonesia yang lain. Tahun ini, dimaklumkan bahawasanya terdapat 162,000 hadirin pada majlis ini.
Dikhabarkan juga, Punggowo ini adalah perhimpunan terbesar warga Jawa di Indonesia! Memang menarik dan patut diteruskan tradisi sebegini. Punggowo ini diadakan semperna untuk mengeratkan lagi hubungan antara warga Jawa. Ianya biasa dianjurkan selepas hari raya. Oleh sebab itu ianya disebut Halal Bilhalal. Kiranya seperti saling maaf-memaafkan.
Pada tahun ini, tema yang diangkat adalah Urip Iku Urup. Ianya diambil dari bahasa Jawa yang bermaksud Urip (Hidup) dan Urup (Menyala) atau dalam bahasa Indonesianya diterjemahkan sebagai hidup itu harus bermanfaat, iaitu hidup seharusnya berguna bagi sesama manusia dan juga alam sekitar.
Betapa mulianya jika nilai Urip Iku Urup ini berjaya diterapkan dalam kehidupan seharian. Kita seharusnya bermanfaat kepada semua orang. Tidak hanya dengan bantuan harta, namun bantuan dari segi pemikiran, ketrampilan, inspirasi, semangat dan nasihat yang dapat mengubah hidup seseorang. Berkongsi sesama insan juga tidak hanya bersifat kebendaan namun kita juga boleh berkongsi ilmu pengetahuan, ketrampilan dan juga pengalaman.
Ki Lurah Penggowo Batam, HM Soerya Respationo berharap agar majlis tersebut tidak hanya untuk warga Jawa namun harus juga terjadi dengan saudara-saudara dari suku lainnya.
Di pentas utama juga dipersembahkan tari tradisional Jawa kepada penonton. Cukup menarik perhatian saya dengan persembahan yang cukup bertenaga dan penuh mistik bagi saya.
Persembahan Tradisional Jawa
Pada majlis tersebut juga, terdapat banyak reruai (booth) yang disediakan di sini. Setiap booth mempamerkan budaya Jawa yang berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain. Saya juga berpeluang untuk menyaksikan beberapa jenis persembahan yang dipersembahkan di reruai tersebut.
Persembahan adalah Turonggo Yakso. Kesenian ini berasal dari “Baritan” iaitu sebuah ritual yang dilakukan oleh masyarakat daerah Dongko sejak lama. Tari Turonggo Yakso ini menceritakan tentang kemenangan orang kampung dalam mengusir bahaya atau kemurkaan yang menyerang kampung mereka.
Terlihat beberapa ekor raksasa menari-nari sambil dikawal oleh seorang yang berkuasa. Persembahan ini juga disertakan dengan musik dan juga nyanyian dalam bahasa Jawa yang kedengaran asing bagi saya. Untuk makluman semua, ini merupakan pertama kali dalam hidup saya menyaksikan persembahan sebegini di depan mata.
Lagi mengejutkan saya apabila terdapat ahlinya yang dirasuk semasa persembahan! ya sebelum ini saya juga mendengar cakap-cakap orang tentang kejadian sebegini, namun kali ini ianya berlaku langsung di depan mata saya. Namun usah khuatir kerana terdapat para pengawal yang ditugaskan untuk mengembalikan kesedaran orang yang dirasuk tersebut.
Dipamerkan juga persembahan menguji kekebalan para pemain persembahan Tari Turonggo Yakso ini. Alatan tajam diletakkan di atas lantai dan para anak muda berbaring dan berguling di atas alatan tersebut.
Memang sungguh luar biasa apabila terdapat anak muda yang mampu melakukannya tanpa ada sebarang kecederaan. Hatta sedikit! Kagum betul saya melihat perrsembahan sebegini. Memang kuat betul jiwa dan dalaman mereka bagi melakukan aksi seperti ini.
Selain itu juga, terdapat gerai-gerai yang menyajikan aneka masakan dan kuih muih tridisional Jawa. Dikhabarkan lebih 300 menu khas Jawa yang asli di sediakan di sini. Namun kami tidak berkesempatan untuk merasai sendiri kerana kekangan masa. Mungkin dilain kali dapat kami rasai sendiri keunikan masakan Jawa ini.
Buat anda yang ingin menyertai program sebegini bolehlah membuat semakan dengan pihak berkuasa Batam untuk tarikh yang sebetulnya pada masa akan datang. Saya dimaklumkan ianya diadakan selepas bulan Syawal setiap tahun kerana program ini adalah kesinambungan hari raya untuk mengeratkan hubungan dan saling bermaaf-maafan.
Semoga berjumpa lagi Punggowo!