Jom Ke Setiu – Tempat Menarik di Setiu Terengganu

Tempat Menarik di Setiu | Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang membaca blog saya. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah untuk entri kali ini, saya ingin kongsikan tempat menarik di Setiu Terengganu.

Berkunjung ke negeri di Pantai Timur Malaysia ini tidak membosankan. Dengan keadaan negeri yang menghadap Laut China Selatan, pelbagai tarikan yang ada di negeri Terengganu ini. Memang tidak akan jemu bila berkunjung ke sini.

Jika pada entri yang lalu, saya telah kongsikan beberapa tempat menarik di Terengganu, kali ini saya ingin lebih mengkhususkan kepada daerah Setiu. Setiu merupakan antara daerah yang terdapat di Negeri Terengganu yang bersempadanan dengan daerah Besut, Hulu Terengganu dan juga Kuala Nerus.

Pada hujung minggu lepas, saya telah berpeluang untuk berkunjung ke daerah Setiu ini. Terdapat pelbagai tempat menarik yang telah saya lawati. Oleh yang demikian, saya begitu teruja untuk saya kongsikan dengan anda semua mengenai tempat-tempat yang menarik ini. Ayuh!

1. Terrapuri Heritage Village

Baiklah di sini adalah tempat saya bermalam selama 2 malam. Cukup menarik. Diambil nama Terrapuri adalah bermaksud istana lama. Jadi senibina di sini adalah berdasarkan istana lama pada zaman Langkasuka dulu. Senibina rumah yang terdapat di sini mengadungi senibina dari negeri Patani, Kelantan dan juga Terengganu.

Selamat datang ke Terrapuri

Untuk membaca tulisan penuh saya berkenaan Terrapuri Heritage Village bolehlah mengklik pautan ini

2. Rumah Botol

Jika anda berkunjung ke Setiu, bolehlah anda singgah di Rumah Botol. Rumah Botol ini adalah hak milik persendirian. Ianya dimilikki oleh Tengku Mohd Ali Bin Tengku Mansor atau lebih dikenali sebagai Ayah Ku atau Tokki.

Pengumpulan botol-botol ini adalah dari inisiatif Tokki sendiri yang bermula daripada sikap Tokki yang cintakan alam sekitar. Dahulunya Tokki melihat ada kanak-kanak yang sering memecahkan botol apabila dijumpai di tepi pantai.

Hal ini akan menyebabkan kemalangan kepada pengunjung apabila berkunjung ke tepi pantai. Bagi mengelakkan hal ini berlaku, Tokki memesan kepada anak-anak kecil di situ supaya menghantar botol kepadanya jika dijumpai.

Tokki sedang galak bercerita

Ini bagi mengelakkan dari botol tersebut dipecahkan oleh kanak-kanak terbabit. Selain dari itu juga, Tokki sendiri berjalan di tepian pantai untuk mengutip botol. Dikhabarkan pernah Tokki berjalan sehingga ke Kelantan untuk mencari botol-botol.

Terdapat pelbagai jenis botol yang dijumpai di sini. Apa yang paling menarik, terdapat juga botol yang mengandungi surat yang dimasukkan ke dalamnya. Namun apa yang lebih membuatkan saya terfikir, jika botol dari Eropah pun mampu sampai ke sini, berapa banyaklah botol yang ada dalam lautan kita ini ya.

3. River Boat di Laguna Setiu

Jika anda sukakan alam semulajadi, saya mencadangkan anda untuk mencuba aktiviti River Boat di Laguna Setiu ini. Ianya merupakan aktiviti anda menaiki bot sepanjang Setiu Wetland dan mempelajari sedikit sebanyak mengenai flora dan fauna.

Apa yang menariknya, setipa pulau di sini mempunyai hidupan yang unik. Seperti pokok sarang semut ini. Ianya hanya hidup di pohon nyireh dan hanya berada di satu pulau di kawasan sini iaitu Pulau Telaga Tujuh. Ianya tidak boleh hidup hatta di pulau tepinya!

Tekun mempelajari mengenai flora dan fauna

Lain pulau, lain pula kisahnya, di Pulau Layak kami belajar pula mengenai pokok Berus Mata Buaya. Ianya hanya terdapat di pulau ini. Seterusnya kami menyelusuri kawasan tanah bencah Setiu ini ke kawasan ternakan ikan.

Ikan di sini dikatakan antara yang terbaik dihasilkan. Mana tidaknya, ia hidup di persekitaran yang bersih dan tanpa pencemaran bahan kimia. Antara ikan yang dipelihara di sini adalah ikan siakap, ikan kerapu dan juga ikan talapia. Oh! Jika anda bertuah, anda boleh makan tiram segar di sini!.

Memberi makan ikan di dalam sangkar

4. Boardwalk Setiu

Boardwalk Setiu ini merupakan salah satu tarikan yang terdapat di tanah bencah Setiu ini. Ianya merupakan salah satu tempat yang wajib dilawati sekiranya anda berkunjung ke Setiu.

Di sini anda boleh mempelajari pelbagai tentang flora dan fauna yang terdapat di tanah bencah ini. Untuk maklumat lanjut mengenai tanah bencah ini, bolehlah di entri yang telah saya tulis sebelumnya. Klik di sini untuk membaca.

5. Setiu Wetlands Savvanah Pengkalan Gelap

Jika anda seorang yang gemarkan bergambar, maka ini adalah tempat yang patut anda kunjungi. Kawasan ini juga merupakan salah satu kawasan yang terdapat di Tanah Bencah Setiu ataupun Setiu Wetlands.

Seperti berada di Afrika, tempat ini memang menjadi tarikan untuk sesiapa sahaja bergambar. Penggambaran drama juga katanya pernah dibuat di sini! Terbaiklah!

Dengan rumput yang menghijau serta pokok kayu yang unik, memang agak fotogenik jika diambil gambar. Saya juga terkesima kerana rumput dan pohon yang terdapat di sini agak berbeza dari tempat lain. Ianya bukan ditanam ya, tapi memang tumbuh meliar di sini.

Kawasan ini terletak di kampung Pengkalan Gelap, sebelah kiri jalan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu. Buat anda yang lalu ke kawasan ini, bolehlah singgah untuk sekeping gambar!

6. Mr Celup Tepung Station

Tidak sah kalau ke Terengganu jika tidak makan makanan laut mereka yang segar. Mana tidaknya, negeri pesisir pantai ini pastinya kaya dengan pelbagai makanan laut yang segar dan sedap untuk dijamu kepada para tetamunya.

Salah satu tempat yang menarik untuk anda menikmati ikan celup tepung (ICT), keropok lekor cicah colek (KLCC), udang viral (UV) dan pelbagai lagi makanan enak lain bolehlah singgah ke Mr. Celop Tepung Station ini.

Berada di tepi pantai, para pelanggan bolehlah menikmati hidangan sambil menghirup udara segar dari laut. Sungguh mendamaikan!

7. Jeti Nelayan Kampung Mangkuk

Buat anda yang ingin mengetahui bagaimana proses pembuatan bot bolehlah datang ke sini. Kerana di sini antara salah satu tempat pembuatan bot yang masih aktif di negeri Terengganu ini. Zaman sekarang, tempat pembuatan bot sudah semakin sikit, jadi di sini adalah antara salah satunya yang masih aktif.

Antara bot yang sedang dibina di sini

Bot yang dibuat di sini cukup berkualiti tinggi. Ianya ditempah dari seluruh negara antaranya juga dari Putrajaya. Pembuatan bot di sini menggunakan kayu cengal, jati dan juga kayu balak. Ianya dihasilkan dengan kayu yang berkualiti tinggi supaya bot yang dihasilkan dapat bertahan dengan lama,

Selain dari pembuatan bot, di sini juga tempat utnuk membaik pulih bot yang telah rosak. Terdapat bot dari pelbagai tempat datang ke sini untuk dibaik pulih. Antaranya adalah dari Johor dan juga Kelantan.

Selain daripada itu, anda juga boleh bergambar di sini dengan suasana yang cukup cantik. Susunan bot yang terdapat di tebing dengan pohon nipah yang menghijau di belakang pastinya menjadikan gambar anda cukup menarik.

Penutup

Itu sahaja tempat yang saya mampu kongsikan dengan anda buat masa ini. Sebenarnya kalau diikutkan banyak sangat tempat menarik yang patut anda kunjungi jika datang ke Setiu ini. Pantainya yang indah tu tak payah la nak cakap, sebabnya memang pantai dengan laut membiru sudah sinonim dengan Setiu ini.

Jadi buat anda yang ingin meneroka Setiu ini bolehlah berbuat demikian. Namun jika anda masih ada keraguan ataupun pertanyaan, bolehlah menghubungi pihak Tourism Terengganu di pautan berikut.

amirnawawi

Penulis yang sentiasa memikirkan tentang masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge