Site icon AMIRNAWAWI

Beruntungnya Pesawah Zaman Sekarang

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah dalam entri kali ini saya ingin kongsikan dengan anda sedikit sebanyak tentang pesawah zaman sekarang.

Saya dibesarkan dalam keluarga pesawah dan saya sendiri memahami perit jerih pesawah dalam menjalani kehidupan harian. Membanting tulang dalam menanam padi untuk menyara kehidupan keluarga. Saya masih ingat lagi sewaktu darjah 3 pada tahun 2000 yang lalu saya mengikut abah ke bendang untuk membetulkan batas bendang tatkala hujan turun dengan lebat.

Dengan kilat bertendum di langit sambil awan mencurahkan airnya, abah membetulkan batas dan membuat aliran air supaya air tidak bertakung sehingga boleh memusnahkan benih padi yang baru sahaja ditabur. Itulah antara memori yang saya ingat hingga kini.

Pesawah Zaman Sekarang

Zaman sekarang tidak kurang juga hebatnya dalam penanaman padi ini. Terdapat pelbagai cabaran dan onak terpaksa dilalui oleh pesawah sebelum padi yang ditanam dapat membuahkan hasil. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan pesawah sekarang, saya telah berkunjung ke negeri Kedah, negeri Jelapang Padi Malaysia untuk bertemu pesawah-pesawah yang masih membanting tulang di bendang ini.

Encik Salleh Harun
Tuan Haji Harun bin Taib (Pak Tam)

Saya telah menemui Pakcik Salleh Harun dan Tuan Haji Harun bin Taib ataupun lebih dikenali sebagai Pak Tam. banyak yang telah mereka kongsikan sepanjang menjadi pesawah ini. Bagaimana getirnya mereka dahulu dalam penanaman padi. Jika dahulu, bermula dari awal lagi para pesawah terpaksa membeli benih padi dengan harga yang agak mahal dengan duit sendiri.

Kami tekun mendengar penerangan Pak Tam berkaitan hal ehwal padi

Setelah itu, baja, racun dan sebagainya terpaksa dibeli menggunakan wang poket sendiri mereka yang sudah tidak berapa banyak ketika itu. Tidak hanya dengan itu, penanaman padi juga begitu rumit ataupun ‘manja’ kerana terpaksa diberikan perhatian sepenuhnya sehingga padi dituai.

Pak Cik Salleh Harun menerangkan secara terperinci kepada kami mengenai racun padi

Namun kini katanya, pelbagai bantuan kerajaan telah diberikan sehingga subsidi biji benih, baja dan racun juga diberikan. Tunjuk ajar tentang penjagaan padi oleh MADA juga diberikan agar hasil padi yang optimum dapat dihasilkan.

Ya, apa juga pekerjaan yang dilakukan akan menghadapi halangan dan cabaran. Pekara tersebut juga dilalui oleh para pesawah ini. Ancaman makhluk perosak seperti serangga bena perang, siput gondang merah  dan masalah padi angin antara yang menghantui para pesawah. Namun pekara tersebut dapat dihadapi sebaiknya dengan tunjuk ajar daripada pihak MADA.

Selain itu juga, harga padi pada zaman sekarang juga meningkat daripada dulu. Apa yang lebih menariknya, subsidi kerajaan juga diberikan kepada penjualan padi. Sekarang harga padi bagi satu tan adalah RM1200, namun kerajaan menambah pula RM300 kepada harga tadi menjadikan harga padi sekarang RM1500 untuk satu tan. Ini memberikan kelegaan kepada golongan pesawah.

Bergambar kenang-kenangan bersama Pak Tam dan juga isteri

Oleh yang demikian, taraf hidup para pesawah zaman sekarang tidak seperti dulu lagi. Sekarang mereka boleh menarik nafas lega dengan segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka.

Pak Cik Salleh di hadapan rumahnya
Bantuan Khas Kepada Pesawah

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak melupakan golongan ini pada bajet yang diumumkan untuk tahun ini. Jika sebelum ini para penoreh, nelayan dan peneroka mendapat manfaat daripada pengumuman bajet kerajaan, namun kali ini golongan pesawah tidak dilupakan oleh Perdana Menteri.

Bantuan khas sebanyak RM600 kepada pesawah sementara menunggu padi masak sememangnya dinantikan oleh mereka. Mana tidaknya kerana sebelum ini, pendapatan mereka agak terhad tatkala menunggu masaknya padi. 3 bulanlah mereka tanpa pendapatan.

Namun dengan bantuan sebanyak RM200 sebulan ini sekurangnya dapatlah mereka menggunakan wang tersebut untuk menyara sedikit sebanyak kehidupan harian sebelum padi dapat dituai. Walaupun tidak banyak, namun diharap dapat membantu sedikit sebanyak dalam menyara kehidupan seharian mereka.

Jualan murah yang dijalankan untuk sedikit sebanyak membantu golongan sasar

Sejujurnya banyak jasa pesawah kepada negara. Tanpa mereka tiadalah nasi yang menjadi makanan ruji kita sehari-hari ini. Mereka membanting tulang dan tenaga untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi untuk kita semua.

Jadi, buat anda semua hargailah setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulut kita kerana ianya datang dari titik peluh para pesawah sekalian. Elakkan pembaziran dan berjimat cermatlah.

Exit mobile version