Site icon AMIRNAWAWI

Tempat Menarik di Kelantan Yang Patut Dikunjungi

Assalamuaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah untuk entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai tempat menarik yang berada di Kelantan.

Semua sedia maklum bahawasanya sempadan negara kita telah ditutup untuk keluar mahupun masuk oleh warganegara Malaysia mahupun asing. Bagi yang gemar berjalan-jalan pastinya akan sedikit tepu untuk berada dalam negara sahaja. Namun tahukah anda yang dalam negara kita sendiri pun terdapat banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi. Sememangnya kita cukup beruntung kerana dianugerahkan pelbagai keindahan flora dan fauna, bukit bukau, gunung ganang, pantai yang putih dan pelbagai lagi tempat menarik.

Kali ini saya ingin membawakan anda semua ke beberapa kawasan menarik yang terdapat di negeri Kelantan. Terkenal dengan jolokan negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan merupakan tempat yang wajib anda lawati jika ingin melancong dalam negara.

Membesar di Kelantan sepenuhnya namun saya cukup teruja untuk meneroka negeri yang saya cintai ini. Ternyata pelbagai tempat dan aktiviti menarik yang dapat dilakukan oleh semua jika berkunjung ke Kelantan. Bagi anda yang ingin ke sini, tak usah bimbang akan kenaikan berat badan kerana di sini anda akan dijamu dengan makanan-makanan yang enak dan juga sedap! Apa yang pasti harganya memang berbaloi.

Selain makanan yang enak, terdapat juga aktiviti-aktiviti serta pertunjukkan berkaitan adat dan budaya. Memang terbaiklah. jika kita biasanya ke luar negara dan melihat adat budaya orang, namun pernahkah kita melihat adat budaya sendiri yang kekal terpelihara ini?

Ayuh, bersama-sama saya kita terokai Kelantan. Di bawah ini saya senaraikan beberapa tempat yang menarik yang patut anda kunjungi jika ke Kelantan.

1. Galeri Wau Pak Sapie & Sons

Pernahkah anda lihat wau yang terbang tinggi di langit dengan hiasan yang berwarna warni. Cukup cantik dan indah bukan? Saya cukup teruja untuk mengetahui bagaimana wau yang cantik sebegitu bisa dibuat. 

Akhirnya keinginan saya untuk mengetahui proses pembuatan itu terjawab di sini. Pelbagai jenis wau dihasilkan disini. Namun wau negeri Kelantan adalah yang utama. Baru saya tahu juga yang setiap negeri di Malaysia mempunyai wau rasmi mereka sendiri.

Di Kelantan yang paling terkenal adalah wau bulan, namun wau bulan telah diangkat menjadi wau rasmi negara Malaysia, maka wau kikik adalah wau rasmi bagi negeri Kelantan ini. 

2. Tempat Membuat Keropok

Keropok lekor atau dikenali sebagai kepok gotel di Kelantan merupakan antara kudapan yang cukup popular di negara kita. Sekali makan pasti nak lagi dan lagi. Kudapan yang diperbuat daripada ikan segar ini pastinya sedap disamping memberikan khasiat kepada pemakannya. 

Kepok gotel ini sememangnya popular di negeri Pantai Timur Malaysia. Dengan negeri yang berada di pesisiran pantai, pastinya ikan segar mudah diperolehi. Naik sahaja ke darat, ikan tersebut akan dibawa ke kilang untuk diperoses menjadi snek yang enak ini. 

Di Kilang keropok Lekor cap Kapal ini anda akan dapat melihat sendiri pembuatan keropok lekor dan mencicip keenakkan keropok yang mereka hasilkan .Saya sendiri makan tak berhenti ☺

3. Tempat Mencanting Batik

Batik merupakan antara warisan negara kita yang patut dihargai. Dengan kehalusan dan kesenian yang diserlahkan di atas kain menjadikan ianya cukup berharga pada si pemakainya. 

Dengan kehadiran teknologi, pastinya proses pembuatan batik lebih mudah dengan hanya mencetak secara digital sahaja. Namun kehalusan dan kesenian dari batik canting ini tiada yang dapat mengalahkannya.

Saya cukup teruja melihat bagaimana proses mencanting batik ini dilakukan. 

Selain itu juga saya telah melihat bagaimana batik yang ditekap menggunakan blok-blok besi. Dikatakan di sini terdapat lebih 6000 blok batik yang berusia puluhan tahun!

Cukup teruja saya melihat segala proses yang dilaksanakan. Oh! Jangan lupa untuk beli satu sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ya.

4. Tempat Pembuatan Laksa dan Laksam.

Sebuat sahaja laksa pastinya semua kita tahu yang setiap negeri ada variasinya yang tersediri. Kelantan juga tidak lepas dengan variasi laksanya. Laksa lemak dan juga laksam sememangnya sinonim dengan negeri ini.

Makanan yang dihasilkan daripada tepung beras ini dimakan bersama kuah yang diperbuat daripada ikan segar dan santan. Cukup menggamit selera dan ingin dimakan berkali kali.

Saya juga sentiasa membuat laksam ini dirumah, namun pada kali ini saya telah melihat bagaimana proses pembuatan laksam yang menggunakan teknik continuous batch iaitu proses penghasilan yang non stop. Kalau manual kita terpaksa kukus satu demi satu, namun di sini ianya dilakukan secara berterusan. Jadi hasil yang diperolehi juga banyak dan cepat.

5. Tempat Pembuatan Serunding.

Ini juga merupakan salah satu tempat yang saya ingin lawati. Saya teruja untuk mengetahui tentang pembuatan serunding yang seringkali di makan bersama kuih-muih atau nasi panas ini.

Dalam trip ini juga saya mengetahui asal usul penciptaan serunding ini. Ini adalah kerana pada zaman dahulu nenek moyang kita terpaksa berlayar berbulan-bulan untuk ke Tanah Suci Mekah. Jadi penciptaan serunding adalah untuk memastikan makanan ini tahan lama dan juga mampu di makan sepanjang pelayaran tersebut. Ternyata ada kisah yang menarik disebalik penciptaan makanan ini.

Ada pelbagai jenis serunding dipasaran. Antaranya adalah serunding daging tempatan, serunding daging import, serunding ayam dan juga serunding ikan. Yang paling menjadi kegemaran saya adalah serunding daging. Anda sendiri kena cuba!

6. Pantai Kundur, Deretan Pokok Ru

Di negeri Kelantan ini terdapat pelbagai jenis pantai yang cantik dan bersih. Antaranya adalah pantai Kundur ini. Tidak hanya cantik dan bersih, di sini terdapat deretan pokok ru yang menjadikan pengalaman bergambar anda akan jadi lebih menarik.

Seperti berada di Korea, tempat ini sememangnya popular dalam kalangan penduduk tempatan. Deretan pokok ru menjadikan kawasan ini redup dan memang instagramable lah kepada semua!

Keluarkan kamera dan beraksilah dengan pelbagai gaya yang anda gemari. Muat naik di internet dan boom pasti banyak yang suka ☺

Oh! Di sini juga anda akan dapat melihat aktiviti menaiki pokok kelapa oleh kera. Bagi yang tidak biasa melihat aktiviti sebegini pasti akan cukup teruja melihatnya.

Untuk anda yang ingin merasai sendiri pengalaman dan juga melawat tempat menarik di Kelantan seperti di atas, jangan lupa untuk sertai Kelantan Sightseeing Tour dengan pakej serendah RM40 sahaja. Klik link berikut untuk membaca entri saya berkaitan dengannya

Exit mobile version