
Assalamuaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.
Baiklah dalam entri kali ni saya ingin kongsikan sendiri pengalaman saya menggunakan aplikasi CatchThatBus untuk pembelian tiket bas. Kononnya aplikasi ini adalah bertujuan untuk memudahkan pembelian tiket bas tanpa perlu ke kaunter. Katanyalah!
Namun anda harus berhati-hati kerana apa yang anda impikan tidak sama dengan realiti. Kufikirkan tiket bas yang ku dapat, rupanya pembohongan yang kuterima.
Untuk makluman semua, saya telah membeli tiket bas pada 25 Januari yang lepas menggunakan aplikasi ini. Tiket bas yang saya beli adalah perjalanan dari kampung saya di Machang ke Kuala lumpur pada 1 Februari. Pasca sambutan Tahun Baru Cina.
Untuk memudahkan pemahaman semua, saya simpulkan tragedi ini mengikut kronologi:
25 Januari 2017
10.29 pagi: Saya telah membeli tikat bas menggunakan aplikasi pada pukul 10.29 pagi. Email mengenai pembelian telah saya terima
11.15 pagi: Email tentang maklumat perjalanan saya telah diberikan.
1 Februari 2017
10.40 malam: Bas yang telah ditetapkan telah sampai. Saya naik ke dalam bas untuk duduk di kerusi saya. Namun tempat duduk tersebut telah mempunyai penumpang lain. Saya bertanyakan kepada pemandu bas mengenai perkara ini. Nama saya berserta maklumat tempahan saya tiada dalam sistem mereka. Saya meminta untuk melihat senarai tempahan. Ya! memang tiada nama saya dan tempahan yang dibuat oleh pelanggan tadi yang sah (valid) berserta tiket. Jadi tiket saya?.
Pemandu memaklumkan kepada saya bahawasanya tiket saya tidak sah dan diminta untuk dapatkan kembali bayaran (claim) daripada pihak CatchThatBus. Semudah itu penyelesaian pihak mereka. Dihalau keluar bas dihadapan orang ramai.
11.00 malam: Saya menelefon pihak CatchThatBus di nombor talian 0392121818 . Seorang pegawai perhubungan awam dari pihak mereka telah menjawab panggilan saya. Seorang perempuan Melayu bernama Zila. Dia memaklumkan bahawa tidak sepatutnya pekara sebegini berlaku kerana sistem mereka telah dihubungkan kepada sistem pihak operator bas. Dia meminta masa untuk menyemak bersama pihak operator bas.
12.25 tengahmalam: Pegawai tersebut memaklumkan kepada saya tentang perkara ini. Pihak mereka memohon maaf tentang apa yang berlaku. Dia memaklumkan bahawa kejadian seperti ini adalah pertama kali yang berlaku (kata mereka lah! ). Saya diberi pilihan untuk menaiki bas pada pukul 10 pagi keesokkan harinya.
12.36 tengahmalam: Perbualan berakhir. Saya terkapai-kapai bertemankan nyamuk di stesen Machang ini tanpa tiada seorang pun yang tinggal! Yes I’m alone here at late midnight. Machang ini bukanlah bandar metropolitan besar dan tiada teksi pada waktu malam. Apatah lagi Uber dan GrabCar.
Jadi, apa yang saya patut buat pada malam tersebut? Rumah saya bukanlah dekat dengan stesen. Memang nak atau tidak saya terpaksa tahan apa jua kenderaan sapu yang ada untuk membawa saya pulang kerumah. RM40 lebur begitu sahaja untuk tambang teksi sapu. CatchThatBus tanggung? Tak! Saya sendiri yang terpaksa tanggung atas kesilapan sistem orang lain.
2 Februari 2017
Tiada apa-apa panggilan dari pihak mereka berkenaan kes ini. Saya masih menunggu maklumbalas dari pihak mereka katanya akan menghubungi saya kembali. Namun sampai ke sudah tiada panggilan diterima. Saya beli sendiri tiket dikaunter dan menuju ke destinasi saya.
3 Februari 2017
Ketika entri ini ditulis, ya masih tiada apa-apa maklumbalas dari pihak mereka berkenaan hal ini. Tiada pengembalian wang tunai (refund) dan masih sepi seribu bahasa.
Kemaskini (Updated)
Panggilan telah diterima dari Pengurus Perkhidmatan Pelanggan CatchThatBus, Shem Nair berkaitan hal ini. Saya dimaklumkan bahawa kejadian ini disebabkan oleh isu kesilapan manual dalam pembelian tiket oleh pihak mereka. Pemulangan duit telah dilakukan.
Forgive yes, but not forget. Thank you! *Masih amat terkilan*
Setelah apa yang berlaku, masa dan urusan saya tergendala seharian disebabkan kesalahan yang tidak saya lakukan. Memang geram kerana terdapat perkara penting yang perlu saya lakukan pada 2 Februari tersebut yang telah menjejaskan sedikit masa depan saya. Ya! Masa depan saya. Nampak kecil bagi mereka, namun bagi sesetengah orang ianya cukup besar impaknya.
Jadi, pengajarannyanya adalah, jangan gunakan aplikasi CatchThatBus jika anda tidak mahu terjadi seperti saya!
p/s: Dunia ini tidak memerlukan hakim, polis dan penguasa undang-undang jika hanya dengan maaf sahaja dapat menyelesaikan segalanya. Memaafi itu amalan mulia, namun jika terkena pada anda? Fikir-fikirkanlah sendiri.