Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah dalam entri kali ini saya ingin kongsikan dengan anda semua mengenai Borneo Natural Sukau Bilit Resort.
Untuk makluman semua, pada hujung bulan lepas, saya telah berpeluang untuk berkunjung ke Sandakan. Ini merupakan pertama kali saya bertandang ke sini. Sebelum datang ke sini, saya telah membaca pelbagai rujukan untuk mengetahui apa yang boleh saya lakukan di sini. Ianya memang menarik minat saya untuk melihat monyet Belanda ataupun dikenali sebagai Proboscis Monkey.
Untuk makluman semua, monyet ini tidak dapat dijumpai di Semenanjung. Ini merupakan satu pengalaman yang terbaik buat saya. Oleh sebab keterujaan yang melanda, saya memutuskan untuk ke Borneo Natural Sukau Bilit Resort.
Saya memilih Borneo Natural Sukau Bilit Resort kerana kawasan ini cukup strategik yang terletak berhampiran dengan Sungai Kinabatangan. Pakej yang ditawarkan juga memang menarik. Jadi, tanpa membuang masa saya telah memilih pakej untuk 3 hari 2 malam. Ianya memang menderu adrenalin saya untuk menyertai aktiviti ini.
Di Borneo Natural Sukau Bilit Resort ini anda akan dapat merasai pelbagai pengalaman yang menarik sepanjang berada di sini. Berikut saya kongsikan pengalaman-pengalaman indah yang saya dapat sewaktu berada di sini.
1. Bermalam di bilik yang berada di dalam alam semulajadi
Bila sahaja sampai kesini, saya cukup terpengun, di sebalik hutan yang merimbun, terdapat penginapan yang indah. Namun tahukah anda, disebalik ciptaan resort ini, tiada pohon yang ditebang. Ianya adalah untuk memastikan pepohonan seperti sedia ada. Cukup menarik sekali apabila membuka mata, terdapat kehijauan dan kicauan unggas yang berbunyi ditempat penginapan ini.
Namun hati-hati, kerana ada juga binatang yang tidak dijemput menjengah kediaman anda seperti nyamuk dan belalang. Tapi tak mengapa, itulah resmi hutan. Tak sah kalau mereka tak ada bukan? Jadi satu pengalaman yang menarik. Jangan bimbang kerana bilik anda dilengkapi dengan kelambu dan ubat nyamuk.
2. Melihat Buaya Di Sungai Kinabatangan
Jujur untuk saya katakan, sebelum ini, tidak pernah untuk saya melihat buaya secara langsung di sungai dengan mata kasar. Jika ada pun, sebelum ini hanyalah di zoo ataupun taman haiwan. Ianya dijaga rapi supaya tidak bertemu secara langsung dengan manusia.
Namun kali ini pengalaman yang cukup menarik buat saya kerana saya dapat lihat buaya secara langsung dari atas bot. Buaya dengan bersenang lenangnya berenang di dalam sungai. Fuh! memang mendebarkan buat saya yang takut akan buaya ini.
Namun ini menjadi pengalaman manis saya kerana dapat bertemu dengan buaya ini. Bagi penduduk setempat, pekara ini adalah biasa bagi mereka. Namun apa yang mereka lakukan, adalah berhati-hati dalam setiap gerak langkah supaya tidak menjadi mangsa Sang Bedal ini.
3. Belajar Tentang Flora dan Fauna
Tidak hanya buaya, anda juga akan bertemu dengan monyet Belanda yang menjadi ikon negeri Sabah ini. Tidak sah kalau anda ke Sandakan tanpa bertemu monyet ini. Kami cukup bernasib baik kerana monyet ini sendiri datang bertemu kami di tempat penginapan kami. Wah! Nak bertegur sapa ya si monyet. 😉
Selain itu juga, anda dapat melihat pelbagai lagi kehidupan flora dan fauna yang terdapat di sepanjang Sungai Kinabatangan ini. Terdapat petugas yang akan menerangkan kepada anda mengenai hidupan-hidupan ini. Memang menarik dan sesuatu benda yang baru bagi saya belajar tentang hidupan ini.
Banyak yang telah saya pelajari sepanjang berada di sini. Ianya pasti menjadi kenangan terindah dalam hidup saya. Melihat buaya dengan mata kasar dan di alam nyata membuatkan saya terfikir, bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian bersama sang bedal ini.
Inilah resam kehidupan, ya atau tidak kita hendaklah melaluinya dengan penuh waspada dan berjaga-jaga. Di dunia ini, tidak kita sahaja yang tinggal. Masih ada juga mahluk ciptaan Allah yang lain turut menghuni. Samalah kita menjaga flora dan fauna kerana kita saling melengkapi.
Buat anda yang teringin untuk berkunjung ke sini, berikut adalah pakej yang boleh anda pilih. Ianya memang berpatutan dan berbaloi untuk anda pilih.
Salam sayang, dan salam hijau dari saya. Teringin rasanya ingin ke sini lagi. Sampai berjumpa lagi Borneo Natural Sukau Bilit Resort!