Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah dalam entri kali ini saya ingin berkongsikan dengan anda semua mengenai tapir bersempena dengan Hari Tapir Sedunia.
27 April setiap tahun diangkat menjadi Hari Tapir Sedunia. Melalui hari ini, diharapkan dapat memberi kesedaran kepada semua tentang kewujudan tapir dan keadaan mereka sekarang. Semua sedia maklum bahasawasanya tapir sudah dimasukkan dalam senarai haiwan yang terancam. Mana tidaknya populasi mereka semakin menurun saban tahun.
Oleh yang demikian juga, Watsons, Pocotee & Friends, dan juga Ecotourism and Conservation Society Malaysia (ECOMY) telah bekerjasama dalam menjayakan kempen ‘We Hug Tapir’. Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kelestarian alam agar tapir mampu bertahan dengan lebih lama lagi di muka bumi ini.
Untuk makluman semua, Malayan Tapir yang menghuni tanah Nusantara ini merupakan antara spesis yang diancam kepupusan. Malaysia, Thailand, Myanmar dan juga pulau Sumatera merupakan tempat tinggal bagi spesies ini. Namun sekarang, ekosistem mereka diceroboh dan akhirnya kehidupan mereka turut terjejas.
Atas kesedaran ini juga. Watsons bersama produk Naturals iaitu jenama keluaran mereka telah menganjurkan program ‘Sehari Bersama Tapir dan Alam Semulajadi” yang diadakan di River Dusun Wildlife Reserve di Selangor. Saya juga tidak berkecuali mengikuti program ini bersama pengamal media yang lain.
Di sini, saya telah belajar banyak pekara mengenai tapir ini. Sayang sekali bila mengenangkan keadaan tapir ini yang banyak dirundung malang saban hari. Acapkali juga kita mendengar yang tapir selalu dilanggar oleh kereta bukan? Ya! Itu antara penyebab terbanyak kematian tapir ini.
“Tahukah anda yang tapir merupakan haiwan terbesar di Selangor?”
Ini salah satu fakta yang saya perolehi semasa menyertai program ini. Memandangkan gajah tiada di Selangor, maka tapirlah haiwan yang terbesar yang wujud di negeri ini. Tapir adalah haiwan yang sama dalam spesies kuda dan badak. Sekilas kita melihat mereka sudah kita tahu akan keadaan fizikalnya bagaimana bukan?
Di River Dusun Wildlife Reserve ini juga dijadikan tempat buat tapir ini membiak dan mereka dijaga sebaiknya. Buat masa ini seramai 9 ekor tapir berada di sini. Dimaklumkan juga, apabila usia tapir ini mencapai dewasa dan mampu berdikari, mereka akan dilepaskan ke hutan untuk mereka menjalani kehidupan sepertimana haiwan liar yang lain.
Selain dari itu juga, kami menanam pokok nangka yang menjadi makanan kegemaran bagi tapir ini. Semoga pohon ini berbuah lebat dan menjadi santapan para tapir ini nanti. Stay strong pokok nangka! Tapir needs you!
Tumbuh suburlah wahai pohon nangka
Melalui kempen pembelian produk dari jenama Watsons, sebahagian didermakan untuk projek ini. Sebanyak RM1 disumbangkan dari setiap produk yang dibeli oleh pengguna. Derma ini akan digunakan untuk program kesedaran untuk anak-anak sekolah yang tinggal berdekatan dengan Taman Negara National Park iaitu tempat tinggal tapir ini.
Sepanjang kempen ini berlangsung, sebanyak RM30,524 telah berjaya dikutip. Ianya diharapkan agar mampu menyokong usaha program kesedaran dalam kalangan anak-anak kita supaya sentiasa menjaga kelestarian hidupan liar di muka bumi ini.
Semoga usaha seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa hadapan. Sayang seribu kali sayang jika tapir, antara haiwan yang mendiami bumi bertuah Malaysia ini hilang ditelan zaman. Bersamalah kita semua berusaha bersama-sama mengelakkan ianya daripada pupus untuk mengimbangi ekosistem alam ini.
Biar anak cucu kita pada masa hadapan mampu untuk melihat secara langsung haiwan ini depan mata, bukannya gambar sahaja dari komputer riba.
