Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua para pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah dalam entri kali ini saya ingin berkongsi mengenai Panggung Seni Tradisional 2018 yang diadakan di MATIC Kuala Lumpur.
Untuk makluman semua, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha untuk memulihara dan memelihara kesenian tinggi telah mengambil inisiatif mewujudkan platform bagi kesenian tradisonal dinikmati oleh masyarakat ibu kota melalui tujuh persembahan Panggung Seni Tradisional (PST) yang authentik dan klasik.
Program ini merupakan kesinambungan bagi program yang dilaksanakan secara berjadual di Kuala Lumpur sejak tahun 2013 hinggalah kini. Memasuki penganjuran untuk tahun keenam, ia bertujuan memberi peluang kepada pelancong dan peminat kesenian tradisional tempatan untuk menyaksikan persembahan kesenian tradisional disamping memupuk minat dan cintakan seni.
Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2013 hingga 2017, program ini telah mementaskan 29 kesenian tradisonal yang merangkumi tiga genre iaitu tari, muzik dan teater yang melibatkan 60 kumpulan kesenian dan 1244 orang perserta.
Naskah yang dipentaskan di PST ialah biasanya berdurasi selama 60 hingga 90 minit yang bersifat tradisonal dan berkualiti.
Untuk tahun 2018, PST akan dipersembahkan di Dewan Tunku Abdul Rahman MATIC dengan menampilkan 7 persembahan iaitu:
- Wadira (Wayang Kulit, Dikir Barat, Menora) = 16-17 Mac
- Sitar = 27-28 Mei 2018
- Opera Cina = 20-21 Julai
- Teater tradisional Mek Mulung = 17-18 Ogos 2018
- Eksprtesi Muzika Sape = 7-8 September
- Tarian Tradisional Makyong = 28-29 September
- Rampai Sari Tari Malaysia = 26-27 Oktober
Saya telah berpeluang untuk menyaksikan persembahan pertama mereka pada 17 Mac yang lalu. Persembahan yang saya saksikan adalah Wadira iaitu gambungan persembahan wayang kulit, dikir barat dan juga menora. Ianya merupakan satu pengalaman yang baru buat saya kerana sebelum ini belum pernah saya menyaksikan persembahan tradisonal yang berasal dari negeri saya ini!
Ya, saya berasal dari Kelantan, dan ini merupakan kali pertama saya menyaksikan persembahan sebegini. Memang menarik dan penuh pengalaman yang bermakna buat saya.
Semoga pementasan tradisional ini dapat dilaksanakan secara berkala agar dapat memberi peluang kepada warga kota bagi menghayati dan menghargai seni budaya terus relevan dalam dunia yang semakin terbuka oleh arus globalisasi ini.
Semoga budaya tradisi kita terus kekal, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.