Resepi Kerabu Sarang Kelantan – Kerabu Sare/Kerabu Saghe
Resepi Kerabu Sarang Kelantan | Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang saya kasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah untuk entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai Resepi Kerabu Sarang.
Kerabu Sarang ataupun dalam dialek Kelantan kita sebut kerabu saghe ataupun sare merupakan antara makanan tradisi yang cukup popular dinegeri ini. Ia merupakan makanan berasaskan rumpai laut yang diolah mengikut citarasa tempatan. Kalau kat Sabah kita ada latok, di Kelantan kita ada kerabu sarang.
Kerabu sarang ni biasanya mudah sahaja dijumpai di pasar-pasar basah negeri Kelantan. Harganya pun cukup berbaloi murah dan boleh dinikmati semua lapisan masyarakat. Harga takde la mahal giler dan bagi saya cukup murah. Di kawasan rumah saya, kerabu sarang yang sudah siap dimasak adalah RM2 sebungkus sahaja.
Tanpa membuang masa lagi, ayuh kita mulakan resepi kerabu sarang kita. Untuk menyiapkan kerabu sarang, kita memerlukan 3 bahan utama iaitu rumpai laut, sambal tumis dan juga sambal kelapa.
Rumpai laut perlulah dibersihkan dan ditos airnya. Direndam semalaman sehingga rumpai bertukar putih. Tapi kalau nak buat terus tanpa tunggu pun boleh. Kita yang nak makan kan.
Untuk sambal tumis pula, resepinya sama sahaja seperti membuat sambal tumis nasi kerabu. Bahan-bahan untuk sambal tumis adalah:
Sebiji santan pekat
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
5-8 biji cili kering
3 batang serai
1 inci halia
2 keping asam
2 sudu budu
4 keping daun limau purut
Sedikit gula dan garam
Kisar semua bahan di atas kecuali asam keping dan daun limau purut. Yang ini masukkan sahaja ke dalam periuk dan kacau sehingga ianya pekat. Perasakan dengan gula dan garam mengikut citarasa anda sendiri.
Untuk sambal kelapa pula, ianya sama sahaja dengan proses sambal kelapa nasi kerabu, bahan-bahanya ialah:
1 biji kelapa – dikukur dan disangai di dalam kuali. Pastikan betul-betul kering dan jangan sampai pecah minyak. Kita nak jadikan kerabu bukannya kerisik
5-6 ekor ikan selayang
6 ulas bawang merah
Sesudu lada hitam
3 batang serai
Garam dan gula secukup rasa
Sangai isi kelapa dan masukkan isi ikan berserta bawang dan serai yang telah dilumatkan. Tumbuk sehingga kesemuanya sebati. Oh! Proses ini biasanya orang kampung gunakan lesung. Bila dan sebati, sedia untuk dihidangkan.
Dah siap segalanya, masukkan kerabu sarang, sambal tumis dan sambal kelapa di dalam pinggan. Gaul sebati semuanya. Umphhhhh sedapnya dimakan dengan nasi panas.
Jom cuba korang?
Untuk resepi menarik lain: Klik di sini