September 26, 2023
Lain-Lain

Kursus Dalam Talian Oleh CADS dan Coursera Dilancarkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua para pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Baiklah dalam entri kali ini saya ingin kongsikan dengan anda semua mengenai kerjasama antara CADS dan Coursera dalam menyediakan kursus dalam talian antarabangsa.

Semua sedia maklum bahawasanya zaman sekarang syarikat akan mencari mereka yang berbakat serta mempunyai kemahiran (added value) yang lain bagi memenuhi tuntutan pasaran termasuk dalam industri trend data besar.

Kerajaan Malaysia juga sedang menuju negara maju dengan memposisi sebagai negara peneraju data dengan melahirkan 20,000 golongan profesional data menjelang 2020.

The Center of Applied Data Science (CADS) merupakan platform pertama ASEAN dan satu-satunya pusat kecemerlangan Sains Data di rantau ini bagi memperkasakan generasi profesional data. Bagi merealisasikan impian ini, CADS bekerjasama dengan Coursera iaitu platform kursus dalam talian terbesar dunia bagi menawarkan kursus sains data ini kepada rakyat Malaysia yang berminat.

Golongan  profesional dan para pelajar universiti boleh memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan pengetahuan mereka. 11 kursus dengan tempoh masa setahun dapat digunakan  oleh mereka untuk memahirkan diri dengan segala ilmu yang disediakan. Para pelajar boleh mengakses kepada Hub Pembelajaran CADS beserta tuisyen peribadi dengan Para Penyelidik Data yang terlatih dan berpengalaman.

Pada majlis ini, memorendum persefahaman telah dilakukan diantara Encik Cheam Tat Inn dan Encik Matthew Klein. Turut hadir pada majlis ini adalah Cik Sharala Axryd, Ketua Pegawai Eksekutif ADAX dan Dr. Karl Ng Hou, Pengarah Bahagian Ekonomi Data MDEC.

Encik Cheam Tat Inn, Pengarah Urusan CADS

Menurut Encik Cheam Tat Inn, Pengarah Urusan CADS, pihak mereka merasa amat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan Coursera, kerana mereka percaya kerjasama tersebut membolehkan mereka memupuk dan memperkasakan generasi baru saintis data yang akan mempunyai akses kepada pendidikan dalam talian terbaik di dunia.

Tambah Encik Cheam Tat Inn lagi, ini menunjukan komitmen mereka untuk melahirkan kumpulan saintis data yang berkemahiran tinggi yang memiliki kursus-kursus dari universiti antarabangsa.

Melalui pendidikan dalam talian ini membolehkan rakyat Malaysia untuk mengejar pendidikan yang mereka inginkan tanpa ada sebarang kekangan dan masalah. Ini kerana kerjasama ini menawarkan pembelajaran meluas dalam sains data dan topik yang berkaitan. Para pelajar juga akan mendapat akreditasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa tanpa perlu belajar di luar negara. Ianya boleh dicapai bersama Coursera ini.

Matthew Klein, Pengurus Antarabangsa Perkongsian Kerajaaan Coursera,

Menurut Pengurus Antarabangsa Perkongsian Kerajaaan Coursera, Matthew Klein pula berkata bahawa mereka amat berbesar hati dengan kerjasama yang dilaksanakan ini kerana ia dapat membuka peluang dan kini pembelajaran sains data yang berkualiti dan efektif dapat diakses di Malaysia.

Sharala Axryd, Ketua Pegawai Eksekutif ADAX

Menurut Sharala Axryd, Ketua Pegawai Eksekutif ADAX pula memaklumkan bahawa platform MOOC seperti Coursera akan membuktikan ianya lebih bernilai bagi pencapaian individu. Organisasi telah membuka lebih banyak peluang penting disebabkan permintaan tinggi terhadap kemahiran teknologi baru. Kursus dalam talian sebegini membantu pembelajaran yang lebih meluas bagi pelajar universiti serta perkembangan kerjaya untuk para pekerja dan kestabilan tenaga kerja untuk majikan.

Bagi kos kursus ini pula adalah RM4999 untuk pekerja profesional dan RM3599 bagi pelajar. Yuran tersebut merangkumi peperiksaan, kuiz, akses makmal dan panduan saintis data selama sejam seminggu sepanjang proses pembelajaran keseluruhan.

Bagi anda yang berminat untuk mengikuti kursus ini bolehlah membuat pendaftaran dalam talian bermula 15 Disember. Bagi anda yang membuat pendaftaran sebelum 31 Disember berpeluang untuk mendapatkan diskaun sebanyak 10% daripada harga asal.

amirnawawi

Penulis yang sentiasa memikirkan tentang masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *